Sejarah

Kepayahan yang timbul dari masalah buta huruf di kalangan penduduk Kampung Tok Keling ini telah menyedarkan segolongan tertentu betapa pentingnya ilmu dicari dalam hidup. Di samping ilmu agama, membaca dan menulis juga diperlukan untuk kesinambungan hidup.

Pada tahun 1944-1945, tiga orang yang dihormati masyarakat kampung ini, iaitu Tuan Haji Abdul Wahab Bin Lebai Idris; seorang imam, Encik Ku Ahmad dan Tuan Haji Ahmad seorang tukang kayu telah sepakat dengan orang kampung untuk mengadakan tempat belajar untuk anak-anak di sini. Sebuah bangsal kerbau digunakan sebagai permulaan untuk mereka belajar. Seorang guru Encik Ku Akil yang berasal dari Kuala Muda telah dilantik sebagai guru. Guru silih berganti. Begitu juga bangunan sekolah dibaiki dan dinaik taraf dari masa ke semasa.

Pada tahun 1947, sekolah baru siap dibina dengan mendapat bantuan kerajaan sebanyak RM 50.00 untuk membeli loceng dan papan hitam; manakala meja dan kerusi dibuat sendiri oleh penduduk kampung. Sebagai perbelanjaan mentadbir, waris di sini mengutip tiga 'naleh' padi setahun sekali. Sekolah ini terus berkembang dari masa ke semasa dan mendapat amat sedikit bantuan dari pihak kerajaan.

Selepas merdeka, sekolah ini diletak di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Negeri dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tok Keling.

Pada 28 Julai 2002, sekolah ini ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Haji Wahab sempena mengenang jasa beliau di dalam penubuhan institusi ini.